PKR - FREEMASON

PKR - FREEMASON
The All Seing Eye

Sitelevel Spidering

Search This Blog

Wednesday, March 17, 2010

Kopitiam enggan mohon sijil halal

KUALA LUMPUR 15 Mac - Jumlah pemilik kopitiam yang berusaha mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) begitu mengecewakan apabila hanya satu permohonan baru diterima setakat ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, permohonan tersebut diterima daripada kopitiam Old Town White Coffee yang mempunyai lebih 100 rangkaian di seluruh negara.
Katanya, sebelum ini hanya dua kopitiam memperoleh sijil halal Jakim iaitu Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.
''Kita sedang memproses permohonan syarikat pemilik kopitiam tersebut (Old Town White Coffee) yang dijangka dapat diketahui keputusannya tidak lama lagi.
''Bagi pengusaha kopitiam yang lain, mereka harus ingat bahawa umat Islam adalah pengguna terbesar di negara ini dan oleh itu, jangan cuba meremehkan kepentingan sijil halal Jakim,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sebahagian besar kopitiam di seluruh negara ini yang masih gagal mendapatkan sijil halal Jakim.
Tempoh sah sijil halal Pak Hailam Kopitiam adalah sehingga 15 Februari 2012 manakala Jonker Walk Kopitiam pula sehingga 15 Februari 2013.
Sementara itu, pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz berkata, umat Islam perlu berhati-hati dengan memilih kopitiam yang mempunyai sijil halal Jakim sahaja untuk menjamu selera.
''Makanan yang halal itu penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap amal ibadat dan juga dalam kehidupan seharian kita.
''Jangan sesuka hati menjamu selera di kopitiam jika merasa tidak yakin dengan makanan yang dihidangkan adalah halal,'' tegasnya.
Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kedua belah pihak iaitu kerajaan dan umat Islam harus menangani isu kopitiam secara serius.
''Kalau kerajaan sahaja menguatkuasakan undang-undang sedangkan segelintir umat Islam masih tidak kisah menjamu selera di kopitiam yang tiada sijil halal, maka matlamat itu tidak akan dicapai sepenuhnya,'' kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, kedua-dua pihak perlu tegas dan bekerjasama supaya isu makanan halal termasuk di kopitiam tidak akan berlaku lagi.

Sumber : Utusan Malaysia



Pengusaha beri alasan syarat Jakim terlalu ketat

KUALA LUMPUR 15 Mac - Beberapa pengusaha kopitiam memberi alasan mereka tidak memohon sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana syarat-syarat yang ditetapkan jabatan itu terlampau ketat dan tidak masuk akal.
Pemilik kopitiam Uncle Lim's Cafe, Datuk Goh Seng Toh berkata, sebab itu syarikatnya memohon sijil halal yang dikeluarkan syarikat swasta kerana perkhidmatan mereka lebih efisien dan cepat.
"Sebelum ini saya pernah memohon sijil halal daripada Jakim tetapi permintaan mereka terlalu tidak munasabah.
"Contohnya Jakim meminta agar setiap produk Uncle Lim's disenaraikan bahan mentahnya satu persatu dan ia adalah perkara yang tidak munasabah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, sebahagian besar kopitiam di negara ini masih gagal mendapatkan sijil halal Jakim.
Menurut Mashitah, hanya dua kopitiam di negara ini yang mempunyai sijil halal sah iaitu Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.
Sementara itu Seng Toh berkata, untuk menjimatkan masa, beliau kemudiannya membuat permohonan mendapatkan sijil halal daripada syarikat swasta yang turut menyediakan perkhidmatan sama seperti Jakim.
"Saya menganggap, Jakim tidak mahu menolong peniaga bahkan menyusahkan peniaga dengan prosedur yang tidak praktikal," tambah beliau.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kluang Station, Phun Jun Jin menjelaskan, syarikatnya masih lagi belum memohon sijil halal daripada mana-mana pihak.
"Setakat ini kopitiam Kluang Station menjalankan operasi tanpa menggunakan sijil halal kerana sebelum ini kami banyak mendapat tawaran daripada agensi swasta yang menawarkan sijil halal.
"Namun pihak kami enggan untuk membeli sijil tersebut kerana tidak mahu menipu pelanggan kami dengan sijil halal yang tidak diiktiraf.
"Kami juga sukar untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf kerana proses permohonan yang kurang jelas kepada pengusaha bukan Islam khususnya,'' jelas beliau.
Dalam pada itu, Jun Jin mencadangkan supaya satu badan di bawah Jakim ditubuhkan bagi memudahkan proses permohonan sijil tersebut melalui penyampaian maklumat yang berkesan dan jelas.
Sementara itu, jurucakap kepada Old Town White Coffee yang enggan namanya disiarkan menjelaskan, syarikat itu pada masa ini menggunakan sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta.
"Namun, pada masa yang sama, kami telah pun memohon untuk mendapatkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim.
''Kita jangka permohonan itu diluluskan dalam masa terdekat," katanya.

No comments:

Post a Comment