Pengusaha kopitiam dibidas
KUALA LUMPUR 16 Mac - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dua persatuan pengguna hari ini membidas dakwaan beberapa pengusaha kopitiam bahawa jabatan itu tidak cekap dalam menguruskan permohonan sijil halal.
Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata pengusaha-pengusaha kopitiam perlu faham dan akur dengan prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan sijil itu dan tidak mencari alasan untuk mengelak daripada membuat permohonan.
"Jakim bukannya suka-suka menetapkan prosedur sendiri tetapi ia adalah mengikut standard yang ditetapkan dan diiktiraf di peringkat dunia.
"Permohonan yang dihantar akan diproses berdasarkan standard MS1500 2009," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam beberapa pengusaha kopitiam memberi alasan mereka tidak memohon sijil halal Jakim kerana syarat-syarat yang ditetapkan jabatan itu terlampau ketat dan tidak masuk akal.
Menurut Saimah, Jakim akan mengatur satu pertemuan dengan kesemua pengusaha terbabit untuk menerangkan secara terperinci proses permohonan sijil halal.
Dalam masa sama jelasnya, Jakim sudah memohon kepada pihak atasan untuk menambahkan kakitangannya bagi membolehkan proses itu berjalan lebih lancar.
"Isu kekurangan kakitangan sudah dibawa kepada pihak atasan dan masalah ini akan diatasi tidak lama lagi.
"Perbincangan mengenai penubuhan sebuah agensi untuk menyelaraskan hal-hal berkaitan permohonan sijil halal juga sedang dilakukan demi kemudahan semua pihak," katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, ada pengusaha kopitiam tidak pernah memohon sijil halal Jakim sebaliknya terus bertindak memohon sijil itu daripada syarikat swasta yang tidak bertauliah.
''Berdasarkan senarai Jakim ada beberapa buah kopitiam sahaja yang pernah memohon mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu.
"Sekiranya mereka pernah memohon dan memenuhi semua syarat yang ditetapkan, permohonan tersebut pastinya diluluskan dalam masa yang ditetapkan," jelasnya.
Kata beliau, pengusaha-pengusaha kopitiam seharusnya tidak mengambil ringan isu sijil halal kerana majoriti penduduk di Malaysia beragama Islam.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman pula menggesa semua pengusaha kopitiam agar tidak memberi sebarang alasan berhubung perkara itu.
"Permohonan sijil halal seharusnya dititikberatkan oleh semua pengusaha terbabit. Tiada alasan untuk membolehkan mereka lepas tangan dalam hal ini.
"Sekiranya benar Jakim lewat dalam menguruskan permohonan sijil tersebut, ia mungkin disebabkan borang permohonan yang tidak lengkap," katanya.
Beliau bersetuju dengan tindakan Jakim mahu menambah bilangan kakitangan mereka serta mengambil inisiatif untuk menyelaras dan memantau isu penggunaan sijil halal.
No comments:
Post a Comment