Tragedi Aminul Rasyid : Penubuhan panel khas untuk pantau siasatan polis
30/04/2010
PUTRAJAYA 30 April - Sebuah panel khas yang ditubuhkan, berikutan seorang remaja yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Shah Alam Isnin lepas, tidak akan menjalankan siasatan sendiri sebaliknya berfungsi memantau siasatan polis.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang mengetuai panel itu berkata, panel khas tersebut akan memastikan siasatan yang dijalankan polis dilakukan secara adil dan telus.
"Panel ini akan menilai dan melihat supaya tiada penyelewengan (dalam siasatan yang dijalankan) dan tindakan yang diambil mestilah sebagaimana yang kita hendak pastikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid Amzah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di Shah Alam, yang memandu kereta Proton Iswara mati ditembak setelah dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis manakala rakannya pula berjaya melarikan diri.
Berikutan kejadian itu, satu panel khas telah ditubuhkan bagi memantau siasatan tersebut supaya penyiasatan dijalankan secara adil dan telus.









